Buku ini merupakan buku pertama karya Hamka yang dapat aku aku baca daripada mula sampai ke penamatnya. Kalau buku karya Hamka bertajuk Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, aku tidak dapat membaca habis kerana ada yang meminjam tapi lupa memulang 😌😌.
Walaupun aku tak baca habis Kapal Van Der Wijck tapi Movienya telah berulang kali aku lihat. Kata orang novel dan Movienya tidak jauh beza. Baiklah kembali kepada buku yang aku ambil gambar tadi yang bertajuk Merantau Ke Deli. Buku yang aku baca ini merupakan terbitan semula di Malaysia oleh PTS. Buku yang aku baca ini ialah cetakan kelapan PTS .
Dalam Nota Penerbit telah dimaklumkan bahawa terbitan semula ini tidak mengubah bahasa dan ejaan seperti karya aslinya. Jadi, apa yang ditulis oleh Hamka di dalam karya asalnya itu masih dikekalkan walaupun penerbitannya adalah di Malaysia dan bukan di Indonesia.
Pembahagian Bab
Buku ini mengandungi 16 Bab. Dalam 16 Bab itu aku boleh pecahkan kepada 5 bahagian utama iaitu
1) kehidupan sebelum berkahwin
2) kehidupan semasa berkahwin.
3) kehidupan bermadu
4) keretakan dan perpisahan.
5) kehidupan baharu.
Tema Buku Ini Menurut Perspektif Peribadi
Kalau anda baca mana ulasan tentang buku ini ramai melihat buku ini ialah soal kehidupan berpoligami. Aku tidak nafikan perkara itu, kerana poligami antara plot yang mewarnai buku ini.
Namun demikian, dalam buku ini aku lebih kepada sikap dan tanggungjawab dalam berumahtanggan. Tema poligami itu bagi aku hanyalah satu babak yang menunjukkan mampu atau tidak seorang suami melaksanakan tanggungjawabnya dengan seadilnya. Kalau lihat kepada awal-awal cerita buku tersebut diperlihatkan bahawa Leman berjanji bahawa akan memelihara, menjaga dan membimbing bakal isterinya Poniem kearah yang lebih baik. Di saat mereka sudah berumahtangga di situlah ujian yang dahulunya “manis, menjadi tawar” apabila satu persatu ujian menimpa. Namun demikian, sikap Poniem yang dipaparkan sebagai isteri yang penuh sokongan dan setia akhirnya menjadikan Leman seorang usahawan berjaya kemudiannya.
Di sini kita sudah lihat bagaimana kehidupan berumahtangga yang cuba ditonjolkan oleh Hamka itu sendiri. Sebuah rumah tangga yang ideal apabila isteri membantu sokongan moral dan bertoleransi pada sesuatu perkara untuk kebaikkan bersama. Suami pula berusaha keras untuk memajukan kehidupan mereka bersama.
Namun demikian, sikap tanggungjawab dalam keluarga mula retak apabila Leman gagal berlaku adil dalam berpoligami apabila “melebihkan” isterinya yang muda bernama Mariatun dan seolah-olah meminta isteri tua mengalah. Kesilapan terbesar dalam isu poligami yang gagal difahami oleh Leman bagi aku bukanlah berpunca soal tidak membahagi sama rata. Tapi tindakannya membawa isteri muda duduk serumah dengan yang tua.
Aku pernah terdengar dahulu daripada ceramah mahupun perkongsian mereka yang berpoligami bahawa jika ingin beristeri 2 atau lebih jangan sesekali biarkan mereka duduk serumah secara tetap. Kelaknya akan mendatang mudarat. Dalam hal ini, Hamka dalam bukunya ini menerangkan dengan baik apakah mudarat yang diterima apabila kedua-dua isteri Leman duduk sebumbung. Apabila tanggungjawab ini gagal dilaksanakan dengan baik oleh Leman akhirnya , satu persatu hak dan keadilan untuk Poniem diambil oleh Mariatun menyebabkan keadaan poligami ini semakin keruh dan berakhir dengan penceraian yang tidak disangka-sangka oleh Poniem.
Lain-lain Perkara yang Dibangkitkan oleh Hamka dalam Buku ini.
Baiklah. Kalau sesiapa peminat karya hamka, pasti akan perasan bahawa Hamka gemar untuk mengkritik sikap masyarakat tertentu yang akhirnya memudaratkan diri. Dalam buku ini, ada beberapa kritikan halus ditujukan pada sesiapa pembacanya. Antara yang aku dapat kumpulkan ialah
1) kritikan terhadap mengaku saudara bila senang, tapi bila susah dibuang saudara.
2) kritikan terhadap sikap masyarakat yang meminta pendapat selepas keputusan dah dibuat atau telah bulat dengan satu pendirian. Pendapat itu hanya untuk menyenangkan hati bukan untuk menilai baik buruk sesuatu keputusan.
3) kritikan terhadap masyarakat yang memandang hina terhadap kaum atau etnik lain yang mereka anggap tidak “setaraf” atau dianggap pendatang. Kalau dalam novel ini , Orang Jawa dihina oleh Orang Minangkabau.
4) Kritikan terhadap sumpah dan janji lelaki yang dibuat ketika senang dan akhirnya orang itu gagal tunaikan apa telah disumpahkan bila tiba waktunya.
5) kritikan kepada sikap wanita yang gemar “kekayaan” dan kecantikan tanpa fikirkan kepayahan suaminya.
6) kritikan terhadap maksud dan tujuan perkahwinan. Adakah bersulam cinta atau ada Maksud lainnya. Atau pada awalnya cinta tapi akhirnya berubah kerana menganggap pasangannya tidak sesempurna seperti orang lainnya.
Keseluruhannya, aku sangat sukakan karya Hamka ini. Walaupun pada awal-awal buku ini mungkin agak perlahan jalan ceritanya bagi aku. Tapi bermula di pertengahan cerita iaitu start babak Poniem menangis kerana Leman berhajat keras untuk berkahwin baharu, saat itu aku suka baca lanjutan babnya.
Cuma bagi aku, endingnya bukanlah seperti kebanyakkan cerita yang selalu kita tengok di televisyen iaitu ending Yang penuh dendam. Tapi ending dalam buku ini bagi aku seperti ending yang meminta pembaca berfikir dengan mengadakan pilihan untuk apa yang perlu dilakukan selanjutnya dan mengambarkan ending yang bersifat "redha" dan saling memaafkan.
Dalam buku ini perkara yang paling buat aku terharu ialah kata-kata hamka dalam menerangkan sifat isteri tua leman iaitu
“ajaib perempuan! Dia tidak suka ditipu, dia tidak sudi dipermainkan. Cintanya kepada orang lain, adalah bererti cinta terhadap dirinya sendiri”.
Memang sedih cerita ni. Sangat recommend bagi yang belum baca.
0 comments:
Post a Comment