Terengganu mempunyai 8 daerah yang
terdiri daripada Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu,
Marang, Dungun dan Kemaman. Setiap negeri berbeza antara satu sama lain seperti
perbezaan dalam aspek budaya, dialek, makanan dan sebagainya. Misalnya, di
Pantai Timur Semenanjung Malaysia terkenal dengan makanan tradisional iaitu
keropok lekor, keropok batang dan keropok tengkol. Namanya berbeza tetapi ia
sebenarnya membawa maksud yang sama. Di Terengganu, terkenal dengan keropok
lekor manakala di Kelantan, keropok lekor dikenali sebagai keropok batang. Di
Pahang pula, keropok lekor dikenali dengan nama keropok tongkol. Bagi orang
Terengganu, perkataan “lekor” bermaksud “lingkar” yang menggantikan ejaan “ar”
kepada “or” pada akhir suku kata. Oleh itu, maksud keropok lekor ialah keropok
yang berlingkar.
Di Terengganu, perusahaan keropok
lekor mula terkenal di Kampung Losong, Kuala Terengganu, Terengganu. Keropok
lekor di Kampung Losong ini rasanya enak serta lebih lembut berbeza daripada
tempat lain. Disebabkan perusahaan keropok lekor bermula dari Kampung Losong,
maka orang luar Terengganu sering kali memanggil keropok lekor Terengganu sebagai
Keropok Losong sedangkan Losong itu merupakan nama sebuah kampung yang terletak
di Kuala Terengganu. Melalui perbualan saya dengan kawan saya, kawan saya
memberitahu bahawa mereka memanggil keropok lekor itu sebagai Keropok Losong
kerana untuk membezakan antara keropok Terengganu dengan keropok Kelantan. Oleh
itu, melalui penulisan saya ini, saya harapkan orang luar dari negeri
Terengganu dapat mengubah persepsi tentang Keropok Losong. Jadi, selepas ini,
sekiranya kamu nak meminta kawan Terengganu kamu membeli keropok lekor, sebut
sahajalah keropok lekor dan bukan lagi Keropok Losong.
Sumber Google Map : Lokasi Kampung Losong
Di Terengganu, bukan di Kampung
Losong sahaja mempunyai keropok yang enak dimakan, bahkan di daerah lain juga
mempunyai perusahaan keropok lekor dan keropoknya sangat sedap. Misalnya, di
daerah Dungun, antara perusahaan keropok lekor yang terkenal ialah Keropok Sri
Sura serta Keropok Dungun. Keropok lekor di Terengganu berbeza daripada negeri
lain kerana keropok lekor di Terengganu menggunakan banyak ikan berbanding
sagu. Keropok ini diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan
sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepung kanji.
Sebelum kita pergi dengan lebih
lanjut, lebih baik kita mengetahui jenis produk perusahaan keropok. Antaranya,
keropok goreng, keropok rebus, keropok keping, keropok sira, keropok segera,
keropok udang, keropok sotong, sos keropok dan banyak lagi. Keropok rebus ini
berbeza dengan keropok goreng. Sekiranya kita membeli keropok goreng, kita
mestilah terus makan keropok tersebut manakala keropok rebus pula, kita boleh
simpan di dalam peti sejuk dan ia boleh bertahan sehingga beberapa hari serta
sekiranya kita mahu makan, kita mempunyai dua pilihan iaitu sama ada mahu makan
terus atau menggoreng keropok rebus itu terlebih dahulu. Terpulang kepada anda
kerana setiap orang mempunyai cita rasa berbeza. Keropok keping pula enak
dimakan dengan mi goreng ataupun makan dengan sos cili. Keropok segera pula
sama seperti keropok rebus iaitu boleh tahan lama dan perkara yang menarik
ialah keropok segera mempunyai inti keju.
Seterusnya, proses-proses pembuatan
keropok lekor terdiri daripada penyediaan awal, mengadun doh, membentuk dan
memasak. Sebelum mengaduh doh, isi ikan selayang diasingkan dari tulang, kulit
dan perut ikan. Kemudian, isi ikan dimasukkan ke dalam mesin gaul untuk
menghancurkan ikan. Seterusnya, sagu dimasukkan ke dalam mesin gaul dan diputarkan
sehingga sebati. Kemudian, isi ikan dimasukkan ke dalam mesin gebuk bagi
menghancurkan lagi isi-isi ikan. Jadi, faktor ini jugalah yang menyebabkan
keropok lekor di Terengganu berbeza di negeri lain kerana keropok lekor di
Terengganu tidak mempunyai tulang ikan. Oleh itu, keropok lekor Terengganu
sesuai dimakan oleh semua orang termasuklah kanak-kanak. Untuk proses membentuk
pula, isi-isi ikan dimasukkan ke dalam besen dan kerja-kerja menggetel bermula.
Doh dibentuk menjadi bulat. Untuk proses memasak pula, isi ikan dimasukkan ke
dalam periuk yang mempunyai air yang menggelegak untuk direbus atau digoreng.
Keropok lekor akan timbul di permukaan apabila keropok lekor tersebut siap
direbus atau digoreng.
Dalam setiap perusahaan ataupun
perniagaan, pasti ada cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh pengusaha
mahupun peniaga tersebut. Antara cabaran yang dikenal pasti ialah kekurangan
ikan. Hal ini berlaku pada musim tengkujuh. Melalui sumber Sinar Harian (2018),
harga bahan mentah isi ikan siap diproses untuk pembuatan keropok meningkat dua
kali ganda pada musim tengkujuh. Walaupun harga ikan menjadi mahal, pengusaha
keropok tidak boleh menaikkan harga keropok lekor. Oleh itu, pengusaha keropok
lekor mestilah bersedia menghadapinya.
RUJUKAN
Sinar Harian. (4 Disember, 2018). Tengkujuh
Cabaran Pengusaha Keropok. Diakses daripada
Utusan Malaysia. (19 Julai, 2009).
Sejarah Keropok Lekor Losong. Diakses daripada
0 comments:
Post a Comment